Saturday, 17 December 2016

INILAH Golongan Yang Datang Pada Hari Kiamat Tanpa Secebis Daging Di Muka. Sila Kongsi Dan Sebarkan.....

Tags

Islam menuntut umatnya supaya bekerja dan berusaha sehingga bebas daripada belenggu kemiskinan. Kemiskinan boleh menggelincirkan iman kerana seseorang yang lemah imannya akan sanggup menggadaikan aqidahnya dengan melakukan pekerjaan yang terlarang serta menuturkan kata-kata yang menolak kebesaran Allah seperti menafikan keadilan Allah dan sebagainya.


Setiap pekerjaan yang dilakukan oleh manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup di dunia merupakan ibadat iaitu selagi ia dilakukan dengan niat yang baik dan tidak melanggar hukum-Nya. 

Rezeki yang berkat adalah rezeki yang dicari dengan titik peluh sendiri, bukan dengan cara menunggu pemberian daripada orang lain seperti meminta sedekah, derma dan sebagainya sedangkan tubuh badan masih lagi kuat dan sihat. 

Hal ini amat dilarang keras oleh Islam kerana ia merupakan perbuatan yang memalukan dan menghinakan.

ALLAH menjamin rezeki makhluknya. "Dan, tidak ada suatu binatang melata pun di bumi, melainkan ALLAH lah yang akan memberi rezekinya." (Surah Hud ayat 6).

Sumber rezeki sangatlah luas dan dalam. Seluas bentangan bumi dan kedalaman samudera. Setiap jengkal hamparan bumi dan laut terdapat rezeki yang boleh dicari. Masalahnya, kerap kali manusia lebih berorientasi menunggu rezeki daripada menjemputnya. Mereka lebih mementingkan selera peribadi dalam memilih sumber rezeki yang mana mahukan sesuatu rezeki itu datang tanpa berusaha mendapatkannya.

Islam menekankan setiap Muslim supaya bekerja keras mencari rezeki dengan menggunakan semua potensi dan kekuatan tulang empat kerat. Elakkan daripada meminta secara haram. Ambillah iktibar daripada kisah sebuah hadis riwayat Imam Al-Bukhari yang menceritakan berkenaan Hakim bin Hizam yang sering meminta-minta kepada Rasulullah.

Setiap kali dia meminta kepada Rasulullah, Baginda akan memberikannya. Namun setelah tiga kali dia datang meminta, Baginda bersabda:
"Wahai Hakim, sesungguhnya harta di dunia ini memang indah dan manis, barang siapa yang mengambil harta di dunia dengan hati yang lapang yakni tidak bercampur dengan sifat ketamakan, nescaya akan dilimpahkan keberkatan dalam hartanya itu, tetapi barang siapa yang mengambil harta dunia dengan ketamakan, pasti tidak ada keberkatan dalam harta yang diperolehinya itu. Orang yang sedemikian ini adalah ibarat orang yang makan dan tidak pernah kenyang perutnya. Tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah iaitu orang yang menerima pemberian berkenaan."
Setelah Hakim mendengar akan teguran dan nasihat Rasulullah berkenaan sikapnya yang suka meminta-minta, sejak dari itu dia tidak lagi meminta-minta kepada sesiapa pun meskipun dia berada dalam kekurangan.

Inilah sikap terpuji yang patut dicontohi oleh kita semua. Janganlah kita menjadikan sebab kekurangan hasil pendapatan sebagai alasan untuk meminta-minta bantuan semata-mata bagi memenuhi keperluan hidup yang tidak mencukupi. Namun apa yang menyedihkan pada masa ini terdapat sebilangan orang yang meminta-minta wang daripada keluarga, jiran atau rakan, ataupun ke rumah orang yang tidak dikenali.

Ada juga di antara mereka meminta-minta kepada pihak tertentu untuk mendapatkan bantuan kewangan dan lebih mendukacitakan terdapat juga segelintir orang yang tanpa segan selalu meminta wang daripada orang ramai di tempat awam seperti di kompleks beli-belah atau restoran dengan alasan hasil pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup.

Rezekinya halal tetapi caranya tidak betul. Walaupun seseorang itu ditakdirkan oleh Allah untuk menjadi orang miskin atau fakir, namun mereka tetap tidak digalakkan untuk meminta-minta.

Ini berdasarkan kepada sabda, dari Imran bin Husin berkata: Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah menyayangi hamba-Nya yang beriman yang miskin, yang tidak suka meminta-minta sedangkan dia mempunyai anak yang ramai." (Riwayat Ibnu Majah).
Renunglah, betapa orang miskin lagi tidak digalakkan meminta-minta, apatah lagi orang yang berkemampuan. Sebagai hamba Allah kita hendaklah sentiasa bersyukur dan reda ke atas rezeki yang dikurniakan Allah. Allah melarang kita daripada bersifat tamak dan haloba kepada harta benda sehingga sanggup mencari harta dengan cara meminta-minta.

Sebagaimana hadis riwayat Imam Al-Bukhari daripada Abdullah bin Umar berkata bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:
"Seorang yang terus-menerus meminta-minta kepada orang ramai, sehingga nanti dia akan datang pada hari kiamat dengan wajahnya yang hanya tinggal tulang, tidak ada lagi daging padanya."
Walaupun pada dasarnya perbuatan meminta-minta itu haram dan dilarang oleh agama, namun jika timbul sesuatu darurat atau keadaan terpaksa, maka ia menjadi harus.

Keadaan terpaksa atau darurat itu ialah seorang yang lapar meminta makanan untuk mengisi perutnya kerana dia bimbang jika tidak makan dengan segera, mungkin dia akan jatuh sakit atau mati.

Begitu juga orang yang tidak mempunyai sebarang pakaian, terpaksa meminta pakaian bagi menutup auratnya. Hal seperti ini mengharuskan seseorang itu meminta kepada orang lain selama mana peminta itu tidak berkuasa atau mampu membuat sebarang pekerjaan untuk menyara keperluannya.

Jika dia berupaya untuk bekerja tetapi malas maka tidaklah diharuskan ia meminta-minta daripada orang lain. Ingatlah pesan Rasulullah bahawa orang yang bekerja mencari rezeki itu walaupun hasilnya hanya sedikit, itu adalah lebih baik daripada perbuatan meminta-minta.

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Az Zuba'ir bin Al Aawam dari Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Sekiranya salah seorang daripada kamu membawa tali lalu pergi ke bukit untuk mencari kayu, kemudian dia pikul kayu tersebut ke pasar untuk menjualnya demi menjaga kehormatannya, nescaya yang demikian itu adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain, baik diberi mahupun ditolak." (Riwayat Imam Bukhari).
Umat Islam hendaklah mengelakkan diri daripada perbuatan meminta-minta kerana perbuatan meminta-minta tanpa sebab itu menjatuhkan maruah serta menjejaskan imejnya. Malah perbuatan meminta-minta mencerminkan sikap yang negatif masyarakat kerana sentiasa bergantung ihsan dan bantuan daripada orang ramai atau pihak tertentu.

Justeru, kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal serta sentiasa bersyukur, sabar dan reda dengan pemberian Allah. Sama-samalah berdoa mudah-mudahan Allah meluaskan rezeki-Nya ke atas kita semua~WALLAHUALAM^^
.
Kredit: Ustaz Mohd.Zawawi Yusoh


EmoticonEmoticon